Tempura Udang

Resepi Tempura Udang

Salah satu hidangan masakan Jepun yang paling popular di Malaysia. Tempura diperkenalkan di Jepun oleh mubaligh Portugis pada pertengahan abad ke 16. Untuk membuat tempura di rumah sebenarnya sangat mudah jika menggunkan bahan-bahan dan teknik yang betul.

Bahan asas tempura ialah tepung gandum yang rendah kandungan protein seperti tepung yang biasa digunakan untuk membuat kek. Lagi rendah kandungan protein, lagi kurang gluten yang akan terhasil. Pembentukkan gluten akan menghasilkan tempura yang kurang garing. Inilah sebabnya tepung salutan tempura dibuat dengan menggunakan air yang sejuk. Suhu rendah mengurangkan pembentukkan gluten. Disamping itu, tepung cuma dicampurkan seberapa sedikit yang boleh, kalau ada gumpalan tepung pun tidak menjadi masalah. Ada juga resepi yang menggunakan serbuk penaik ataupun air bergas untuk membuat salutan lebih garing and ringan.

Tempura boleh dibuat dengan pelbagai makanan laut seperti ikan, sotong dan ketam selain tempura udang yang paling terkenal. Sayur-sayuran juga boleh dimasak gaya tempura seperti bawang besar, cendawan, labu, bindir, terung dan lain-lain.

Bahan-bahan

300g ( 6 ekor ) Udang

100g Tepung Gandum ( Tepung Kek jika ada)

20g Tepung jagung

1 biji telur saiz C

250ml air sejuk

Bahan Sos

2 sudu besar kicap Jepun Kikkoman

1 sudu besar kicap manis

150ml air panas

Kaedah

  1. Buangkan kepala, kaki dan kulit udang. Jangan lupa untuk buangkan tali perut undang.
  2. Untuk mengelakkan udang melengkung, kita akan kelarkan bahagain bawah udang seperti ini. Jangan potong terlalu dalam, lebih kurang 1/2 cm sahaja. Setelah dikelar, udang akan lebih mudah diluruskan.
  3. Terbalikkan udang dan kelarkan bahagian atas pula secara menyerong. Tujuan kita ialah supaya luas permukaan undang lebih besar dan salutan tepung lebih mudah melekat.
  4. Potongkan hujung ekor udang. Jika tidak dibuang, bahagian ini akan mengembang dan boleh meletup semasa digoreng dalam minyak panas!
  5. Ulang untuk setiap ekor udang, dan ketepikan dahulu dalam peti sejuk.
  6. Masukkan tepung gandum dalam bekas yang sesuai. Diikuti tepung jagung dan gaulkan supaya rata.
  7. Masukkan telur dan 250ml air sejuk. Pastikan air betul- betul sejuk. Untuk hasil terbaik, gunakan air bercampur ais. Air yang sejuk akan menghalang pembentukkan protien gluten dalam bancuhan tepung salutan.
  8. Gaulkan sehingga bahan-bahan bergabung sahaja. Elakkan bahan-bahan terlalu sebati
  9.  Jangan bimbang kalau masih ada gumpalan tepung dalam campuran. Gunakan dengan segera.
  10. Panaskan minyak. Celupkan udang dalam campuran tepung tempura. Pastikan udang disalut sepenuhnya, dan masukkan dalam minyak yang panas. Lebih kurang 160C.
  11. Udang perlukan hanya beberapa minit sahaja untuk masak. Bila mula kelihatan garing, balikkan udang. Bila sudah garing, udang boleh dikeluarkan.
  12. Pastikan sisa-sisa tepung ditapis keluar setiap kali sebelum menggoreng lagi. Jika dibiarkan, minyak akan berbau hangus. Ulang menggoreng sehingga kesemua udang digoreng.
  13. Untuk membuat sos tempura. Masukkan 2 sudu besar kicap Jepun Kikkoman. 1 sudu besar kicap manis dan kacau sebati. Tambah 150ml air panas dan kacau lagi.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *