Telur masak kicap

Telur masak kicap ialah satu masakan yang sangat popular di kalangan rakyat Malaysia tua mahupun muda. Resepi ini adalah gabung resepi ibu dan isteri saya dan menjadi kegemaran keluarga kami. Sangat mudah dan cepat untuk disediakan khasnya untuk para pelajar dan orang bujang yang kesuntukan masa.

Resepi telur masak kicap ini menggunakan hanya beberapa bahan yang sedia ada di dapur dan sesuai dipadankan dengan nasi panas dan sambal belacan. Juga boleh dimakan sebagai sarapan pagi dengan roti bakar atau sebagai lauk tambahan.

Dalam resepi ini saya ada gunakan sedikit sos tomato untuk menambahkan lagi perisa hidangan ini. Rahsia untuk mendapatkan telur masak kicap yang sedap ialah memastikan bawang digoreng perlahan sehingga lembut dan berwarna perang.

Bahan-bahan ( 2 hidangan)

3 biji telur
2 biji bawang merah besar
2 biji cili hijau
3 sudu besar kicap manis
3 sudu besar sos tomato
Minyak masak
Garam

Kaedah

  1. Bawang merah besar dihiris kasar, jangan terlalu nipis
  2. Cili hijau juga dihiris kasar, menyerong dan tidak terlalu nipis.
  3. Panaskan minyak dalam kuali, kalau nak lebih sedap boleh tambah satu sudu kecil minyak sapi.
  4. Bila minyak dah panas, masukkan bawang yang telah dihiris. Gunakan api yang sederhana supaya bawang tidak hangus.
  5. Tambah kan secubit garam.
  6. Bila bawang dah mula layu dan berwarna kuning di bahagian tepi, masukkan cili hijau.
  7. Goreng sehingga bawang kelihatan garing dan ketepikan bawang dan cili untuk memberikan ruang untuk goreng telur di tengah kuali.
  8. Masukan telur dan tuangkan sos tomato pada bawang dan cili hijau ditepi kuali.
  9. Kemudian tuangkan kicap pada bawang dan cili hijau. Tuangkan juga sedikit kicap pada telur.
  10. Tutupkan untuk 2-3 minit atau sehingga telur masak.
  11. Kuning telur akan masih lembik, kalau anda suka kuning telur yang keras, tambah masa masak 1-2 minit lagi.
  12. Telur masak kicap dah siap untuk dihidangkan dan boleh dihiaskan dengan hirisan cili padi dan daun bawang.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas sila rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *