Sup Ikan Merah

Sup ikan merah ialah satu masakan yang cepat dan mudah untuk disediakan apabila kesuntukan masa. Hanya beberapa bahan asas sahaja yang diperlukan tapi yang paling penting ialah ikan yang digunakan mestilah ikan yang segar. Elakkan menggunakan ikan yang telah dibekukan untuk hasil masakan terbaik.

Resepi ini tidak menggunakan banyak rempah atau bahan tumisan kerana kita mahu rasa ikan yang segar menyerlah dan bukannya rempah-ratus. Rahsia memasak makanan laut ialah tidak memasaknya terlalu lama, malahan lebih elok hentikan proses masak sebelum ianya masak 100% kerana makanan laut akan terus masak walaupun api telah terpadam dan dikeluarkan dari periuk.

Bahan-bahan

500g ikan merah
4 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 hiris tebal halia
Sedikit kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 biji buah tomato
Sedikit daun sup

Kaedah

  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk dan tumiskan bawang merah kecil, bawang putih dan halia. Masak dalam satu lapisan yang nipis supaya bahan tumisan masak dengan sekata. Gunakan api yang sederhana supaya bahan tumisan tidak hangus.
  2. Bila bawang dah mula layu, masukkan cengkih, buah pelaga dan kayu manis.
  3. Bila bawang mula berwarna kuning dan garing tambah 750ml atau 3 cawan air. Elakkan bahan tumisan menjadi terlalu garing, kita tidak mahu rasa bawang yang kuat dalam sup kita.
  4. Masukkan ikan bila air dah mendidih. Gerakkan ikan perlahan-lahan dan tambah 1 sudu kecil garam atau secukup rasa.
  5. Tambah potongan buah tomato , kuatkan api dan tutup untuk 5-6 minit bergantung kepada saiz potong ikan. Ikan yang besar akan memerlukan masa yang lebih panjang.
  6. Kemudian tambah daun sup dan tutup untuk 1 minit lagi.
  7. Padamkan api dan hidangkan dengan segera. Seeloknya kita mahu ikan masak 85%-90% masak apabila kita keluarkan dari periuk kerana ikan akan terus masak walaupun telah dikeluarkan dari periuk.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

2 Ulasan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *