Kuah Kacang

Resepi Kuah Kacang

Kuah kacang atau sos kacang adalah salah satu sos klasik dalam masakan nusantara yang popular. Sering dipadankan dengan satay, ketupat, nasi himpit, sayur lodeh dan bermacam-macam lagi hidangan. Resepi ini mudah dan ringkas dan menggunakan satu teknik rahsia di mana separuh daripada sos kacang dikisar dengan blender sehingga halus dan dimasukkan kembali ke kuah kacang. Ini akan memekatkan lagi sos kacang dan meningkatkan lagi perisa kuah kacang.

Sama seperti apa-apa masakan yang berasaskan sambal yang dimasak, bawang dan cili kisar perlu dimasak sehingga garing dan masak sepenuhnya supaya tidak ada rasa bawang dan cili yang mentah di dalam sos kacang yang dihasilkan.

Bahan-bahan untuk Kuah Kacang

250g kacang goreng kisar

60g atau 3 sudu besar cili kisar

20g atau 3 ulas bawang putih

60g atau 8 biji bawang merah kecil.

4 batang serai

2.5cm hali

2.5cm lengkuas

1500ml air

4 sudu besar gula

1 sudu kecil gula Melaka

2 sudu kecil garam

1 sudu kecil pes asam Jawa

Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Kaedah

1. Titikkan serai dan kisar lengkuas, halia, bawang putih dan bawang merah kecil dengan 100ml air.

2. Panaskan sedikit minyak untuk menumis. Bila minyak sudah panas, masukkan bahan kisar.

3. Kemudian tambah serai.

4. Bila bawang mula kelihatan kekuningan, tambah cili kisar.

5. Gaulkan Rata. Gunakan api yang sederhana dan masak sehingga campuran menjadi pekat. Ini akan mengambil masa 8-10 minit.

6. Bila sudah kelihatan pekat, tambah 500ml atau 2 cawan air lagi.

7. Masukkan kacang goreng kisar. Bila kuah menjadi pekat semula selepas kacang menyerap air, tambah 250ml atau 1 cawan air lagi.

8. Tambah 2 sudu kecil garam atau secukup rasa

9. Masukkan 4 sudu besar gula. Sukatan gula boleh diubah mengikut citarasa anda untuk kurang atau tambah.

10. Renihkan dengan api perlahan sehingga pecah minyak. Ini akan mengambil masa 15-20 minit.

11. Bila sudah pecah minyak, tambah 1 sudu kecil pes asam Jawa.

12. Renihkan 10 minit lagi dan tambah 1 sudu kecil gula melaka.

13. Jika mahu boleh tambah 1/2 sudu kecil serbuk perasa.

14. Sos atau kuah kacang sudah siap, tetapi untuk kuah yang lebih sedap, ambil 300ml kuah dan kisar dalam blender.

15. Masukkan kembali, sos yang telah dikisar tadi.Gaulkan supaya rata.

16. Tambah 100ml air untuk mencairkan sedikit kuah kacang supaya dapat timbul dengan lebih mudah. Kacau dah renihkan sehingga minyak timbul ke atas.

17. Kuah kacang kini siap untuk dihidangkan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *