Fish & Chips

Fish and chips yang baik bermula dengan ikan yang elok. Secara tradisinya, hanya ikan berisi putih seperti Cod, haddock dan plais sahaja yang digunakan. Ikan tempatan seperti Ikan merah, kurau dan kerisi juga boleh digunakan tapi pastikan tulang dan kulit ikan telah dibuang dahulu. Untuk resepi hari ini saya akan gunakan ikan Dory yang kini senang didapati di Malaysia.

Untuk penyediaan salutan, saya menggunakan campuran 3 jenis tepung, tepung jagung, tepung beras dan tepung gandum. Tepung jagung dan beras tidak mengandungi protein gluten seperti tepung gandum dan akan menghasilkan salutan yang lebih garing.

Salutan fish & chips yang tradisional menggunakan bir, tetapi resepi ini akan gantikan dengan air soda untuk mendapatkan kesan yang hampir serupa tanpa alkohol.

Untuk kentang goreng atau chips saya akan gunakan kentang goreng frozen kerana lebih mudah dan cepat. Hasilnya juga akan lebih baik berbandi kentang mentah melainkan kita menggunakan kaedah gorengan dua kali, kalau berminat boleh cuba resepi kentang goreng ala-McD saya.

Resepi sos tartar juga dipermudahkan dan tidak mengandungi jeruk timun atau gherkin yang sukar diperolehi.

Bahan-bahan untuk Fish & Chips

600g ikan dory

Salutan Basah
100g tepung jagung
100g tepung beras
50g tepung gandum
1 sudu kecil serbuk penaik ( baking powder )
1 sudu kecil garam
1 biji telur
1 tin air soda

Salutan Kering
Garam
Lada Putih Aji-Shio
Sedikit tepung jagung

Sos Tartar
3 sudu besar mayonis
1/4 sudu kecil herba dill kering
1/2 sudu kecil parsley kering
2 sudu kecil bawang merah kecil ( dicincang )
2 sudu kecil jus lemon

Kentang goreng frozen

Kaedah

  1. Untuk salutan basah, masukkan tepung jagung, tepung beras dan tepung gandum ke dalam bekas yang sesui dan gaulkan rata. Gunakan pemukul telur jika ada.
  2. Tambah serbuk penaik ( baking powder ), garam dan gaulkan.
  3. Pukul 1 biji telur dan masukkan ke campuran tepung.
  4. Tuangkan air soda sedikit-sedikit sehingga campuran menjadi pekat sedikit. Gaulkan perlahan-lahan. Biasanya tidak perlu habiskan kesemua air soda olehitu, jangan terlebih tambah air soda. Ketepikan dahulu.
  5. Keringkan kepingan ikan dengan tisu dapur supaya permukaan ikan tidak terlalu basah.
  6. Letakkan sedikit garam dan lada putih Aji-Shio pada ikan supaya ikan tidak tawar.
  7. Salutkan kepingan ikan dengan tepung jagung. Salutan tepung jagung ini akan membantu salutan basah melekat pada ikan. Ulang untuk setiap keping ikan.
  8. Panaskan minyak masak dalam kuali. Pasti ada sekurang-kurangnya 1.5cm minyak masak dalam kuali.
  9. Celupkan ikan ke dalam campuran tepung yang kita sediakan tadi. Pastikan kepingan ikan disalut dengan rata pada setiap permukaan.
  10. Tanggalkan salutan yang berlebihan sebelum menggoreng ikan dengan api sederhana.
  11. Jangan masak terlalu banyak ikan dalam kuali pada satu masa kerana ini akan menjejaskan suhu minyak. Jika minyak terlalu sejuk, ikan tidak akan menggoreng dengan sempurna.
  12. Bila ikan sudah berwarna kuning keemasan keluarkan dan ketepikan dahulu. Ikan akan masak dalam 6-8 minit bergantung kepada saiz dan ketebalan kepingan ikan.
  13. Sekarang goreng kentang atau chips. Boleh gunakan kentang mentah , tetapi saya lebih suka guna kentang frozen kerana hasilnya lebih baik dan mudah. Untuk resepi kentang goreng homemade boleh rujuk resepi ini.
  14. Letakkan garam pada kentang sejurus selepas digoreng supaya garam senang melekat pada kentang.
  15. Seelok-eloknya goreng kentang dan ikan serentak, kerana kalau salutan ikan akan menjadi kurang garing kalau dibiarkan terlalu lama.
  16. Untuk sos tartar, campurkan mayonis, dill kering, parsley,bawang merah kecil dan jus lemon. Gaulkan segingga sebati semuanya.
  17. Fish & Chip siap untuk dihidangkan bersama sos tartar dan kacang pis kalau anda suka.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *