Telur Goreng Asam

Telur goreng adalah satu masakan yang di makan di serata dunia. Setiap bangsa dan budaya ada cara mereka tersendiri dalam penyediaanya. Di kalangan masyarakat Melayu, yang paling popular ialah telur goreng kicap.

Di sini saya kongsikan satu resepi warisan yang kurang dikenali generasi muda tetapi tidak kurang sedapnya. Bahan perisa asasnya ialah asam Jawa dan sangat sedap dihidangkan bersama nasi putih sebagai hidangan utama semasa kesuntukan masa ataupun sebagai lauk sampingan atau tambahan.

Gunakan telur yang segar untuk hasil yang terbaik. Untuk menentukan sama ada telur masih segar, satu petua yang boleh digunakan ialah merendam telur di dalam gelas. Telur yang segar akan tenggelam, manakala telur yang sudah lama akan timbul.

Bahan-bahan

Untuk 4 hidangan

4 biji telur ayam
1/2 biji bawang merah besar
3 ulas bawang putih
1cm halia
1 biji cili hijau
1 biji cili merah
1 sudu kecil pes asam Jawa
150ml air
1/2 sudu kecil garam / secukup rasa
2 sudu kecil gula / secukup rasa
1/2 sudu kecil serbuk perasa ( Jika mahu )

Kaedah

  1. Hiriskan bahan tumisan bawang merah, bawang putih, halia dan cili.
  2. Goreng telur satu demi satu dan elakkan kuning telur pecah. Kalau suka kuning telur yang lembut, goreng sehingga putih telur sahaja masak kerana kita akan masak telur dalam kuah asam. Ketepikan dahulu telur.
  3. Panaskan sedikit minyak didalam kuali. Masukkan bahan tumisan bawang merah, bawang putih, halia dan cili.
  4. Tumiskan sehingga layu dan mula garing dan tambah 1 sudu kecil pes asam jawa yang dilarutkan dengan 150ml air. Kuantiti air boleh ditambah jika anda mahu lebih banyak kuah.
  5. Tambah 1/2 sudu kecil garam atau secukup rasa. 2 sudu kecil gula untuk mengimbangkan rasa masam dan pedas. Kalau nak kurangkan gula pun boleh , ikut cita rasa masing-masing.
  6. Kalau nak tambah sedikit serbuk perasa pun boleh.
  7. perlahan-lahan masukkan telur yang telah digoreng tadi. Elakkan kuning telur daripada pecah.
  8. Gerak-gerakkan telur dan ratakan kuah. Simbah-simbahkan kuah asam ke atas telur.
  9. Bila kuah mula kelihatan mendidih semula , padamkan api dan hidangkan dengan segera.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *