Steak Daging

Resepi Steak Daging Lembu – Beef Steak

Peminat steak? Dalam resepi steak daging ini saya kongsikan rahsia masak steak daging yang sedap dan mudah. Resepi khas untuk mereka yang gemar steak tetapi tidak pernah masak steak di rumah. Sebenarnya senang sahaja kalau kita ikut asas-asas mudah untuk masak steak yang sedap dan mudah.

  1. Pilih daging steak yang berkualiti, jangan beli daging steak yang kurang berlemak. Perisa steak datang dari lemak, kalau kurang lemak, steak akan kering dan liat. Utamakan steak yang banyak jalur-jalur lemak di celah-celah daging yang merah. Ini dikenali sebagai ‘marbling’ kerana menyerupai batu marmar.Elakkan daging steak yang nipis atau kurang dari 1.5cm.
  2. Gunakan api yang besar agar kuali kita betul-betul panas berasap. Kalau tak cucup panas steak tak akan masak dengan betul. Tindakbalas haba yang tinggi dengan daging akan menghasilkan kerak garing yang berperisa. Kalau suhu terlalu rendah, steak tidak akan garing dan akan sebaliknya ‘merebus’.
  3. Gunakan minyak sapi , minyak ini tahan suhu yang panas dan lebih berperisa ‘lembu’
  4. Steak mesti garing diluar dan berwarna perang gelap.
  5. Pastikan kita ‘rehatkan’ steak kita selepas masak selama 5-15 minit. Jangan hidangkan atau potong steak sebelum direhatkan. INI PENTING!!
  6. Cecair merah yang keluar dari steak yang dimasak medium ( tidak masak sepenuhnya ) BUKAN darah tetapi sejenis pigmen merah dalam daging yang mengandungi zat besi. Pigmen ini namanya Myoglogin dan halal dimakan.

Bahan-bahan

230g daging steak ribeye, striploin atau tenderloin
Garam Kosher atau garam kasar
Lada hitam yang baru ditumbuk atau dikisar
Minyak sapi

Kaedah

  1. Keringkan permukaan daging steak dengan kertas tisu dapur. Jika permukaan steak masih basah bila dimasak ianya tidak akan masak dengan betul. Steak yang baik , garing diluar tetapi masih lembut di dalam.
  2. Taburkan garam yang secukupnya pada permukaan steak. Steak perlukan garam untuk menaikkan perisa aslinya.
  3. Diikuti lada hitam yang ditumbuk atau dikisar. Lumurkan ke seluruh permukaan steak.
  4. Ulang untuk permukaan bawah steak dan juga bahagian tepi steak.
    Panaskan kuali dan cairkan sedikit minyak sapi. Panaskan dengan api yang kuat sehingga berasap. Untuk hasil yang terbaik boleh gunakan kuali ‘cast iron’
  5. Masukkan steak dan pastikan seluruh permukaan steak bersentuhan dengan kuali. Bila bahagian bawah mula kelihatan garing, balikkan dan masak bahagian atas pula hingga garing.
  6. Pastikan steak tidak dimasak terlalu lama kerana ini akan menghasilkan steak yang kering dan liat.
  7. Untuk steak ‘medium’ masak untuk 4-6 minit dengan api yang kuat. Steak perlu dibalikkan selalu supaya masak dengan sekata.
  8. Gunakan penyepit atau sudip untuk menguji tahap masak steak kita, pastikan masih lembut dan menganjal.
  9. Bila steak telah masak ke tahap yang anda suka, keluarkan dari kuali. Steak akan terus masak walaupun dah dikeluarkan, jadi jangan masak terlalu lama.
  10. Steak kini perlu direhatkan untuk 5-15 minit bergantung kepada ketebalan steak. Lagi tebal, lagi lama. Tutupkan supaya haba tidak terlepas.
  11. Steak daging siap untuk dihidangkan bersama sos kegemaran anda dan dipandankan dengan kentang dan sayur atau salad.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

2 Ulasan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *