Spaghetti Bolognese

Spaghetti Bolognese adalah salah satu masakan pasta yang popular di seluruh dunia. Sebenarnya jika kita pergi ke Itali, masakan ini tidak ada dalam menu di restoran-restoran tempatan. Walaupun di bandar Bologna di mana sos Bolognese dipercayai berasal, hidangan spaghetti bersama sos Bolognese tidak ada dihidangkan!

Sos Bolognese yang asli adalah satu sos daging yang pekat dan mengandungi hanya sedikit sahaja tomato. Hidangan yang dikenali sebagai spaghetti bolognese dipercayai dicipta di Amerika Syarikat pada awal abad ke-20 dikalangan pendatang dari Itali selatan. Masakan dari bahagian selatan Itali kaya dengan penggunaan buah tomato.

Resepi yang saya kongsikan di sini adalah berasaskan resepi untuk versi yang dipopularkan dari Amerika. Bahan yang paling penting ialah buah tomato yang bermutu tinggi. Antara jenis tomato yang terbaik ialah tomato jenis Pelati.

Bahan-bahan

2 Tin Tomato Pelati
500g daging lembu kisar
1 Biji bawang holland dipotong halus
2 ulas bawang putih
1 kiub pati lembu
2 helai daun salam
2 sudu kecil daun parsly kering
1/2 sudu kecil serbuk bawang
3/4 sudu kecil Italian Herbs
3/4 sudu kecil daun basil
1 sudu kecil lada hitam
1/2 sudu besar gula ( untuk mengimbangkan rasa masam tomato )
Minyak zaitun untuk menumis

125g spaghetti
5-6 liter air
2 sudu besar garam

Keju Parmesan yang diparut

Kaedah

  1. Panaskan sedikit minyak masak di dalam kuali. Bila minyak dah panas berasap, masukkan separuh sahaja daging kisar sebab daging akan goreng dua kali. Kalau terlalu banyak dalam kuali, suhu kuali akan kurang panas dan tidak akan masak dengan betul. Tujuan kita sekadar untuk menggaringkan daging sebelum kita masukkan ke sos.
  2. Pastikan masak sekata. Bila dah garing seperti ini angkat dan ketepikan.
  3. Panaskan sedikit minyak zaitun dalam periuk. Masukkan bawang holland dan bawang putih. Tumis sehingga mula menjadi kuning.
  4. Masukkan 2 tin tomato pelati. Pecah-pecahkan buah tomato.
  5. Gunakan api yang sederhana dan kacau supaya buah tomato mula terlerai.
  6. Kemudian masukkan daging kisar yang kita goreng tadi.
  7. Masukkan 2 helai daun salam, 1/2 Sudu besar serbuk bawang, 1/2 Sudu besar Basil, 1 Sudu besar Parsley, 1/2 Sudu besar Italian Herbs
  8. Renihkan 30 minit atau sehingga sos menjadi pekat.
  9. Tambah garam sucukup rasa dan juga 1 sudu kecil lada hitam
  10. Tambah lagi 1 sudu kecil parsley, 1/4 sudu kecil italian herbs dan 1/4 sudu kecil basil. Herba-herba ditambah kerana bila kita renihkan lama-lama, sebahagian aroma herba akan hilang jadi kita tambah sedikit di akhir proses masak.
  11. Tambah juga 1/2 sudu besar gula untuk mengimbangkan rasa masam tomato. Kalau suka sos yang lebih manis boleh tambah lagi gula. Terpulang pada citarasa masing-masing.
  12. Keluarkan daun salam untuk elakkan sos menjadi pahit. Sos bolognese dah siap untuk kita hidangkan bersama spaghetti.
  13. Untuk masak spaghetti, didihkan 5-6 liter air dan tambahkan 2 sudu besar garam.
  14. Untuk 2 hidangan masukkan 1/2 paket spaghetti. Masak untuk 8-10 minit mengikut arahan pada paket spaghetti
  15. Bila sudah masak, tuskan dan ketepikan untuk dihidangkan bersama sos bolognese. Sebaiknya dihidangkan segera selepas masak.
  16. Lengkapkan dengan sedikit keju parmesan dan dihias dengan daun parley segar.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

1 Ulasan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *