Sotong Goreng Kunyit

Sotong goreng kunyit adalah satu masakan yang sangat popular tetapi sukar untuk disediakan dengan baik. Masalah utama yang ramai orang hadapi ialah sotong liat dan keras. Dalam resepi ini saya akan kongsikan rahsia untuk mendapatkan sotong goreng kunyit yang lembut dan ‘juicy’.Resepi ini tidaklah semudah resepi yang lain kerana ada berberapa langkah tambahan, tetapi hasilnya berbaloi.

Pertamanya, kita akan merendam sotong dalam larutan air garam sebelum dimasak. Ini bertujuan untuk menambahkan kandungan air dalam sotong supaya tidak kering selepas dimasak. Larutan garam juga akan bertindak dengan protein dalam sotong untuk melembutkan isi sotong.

Keduanya, kita akan masak bawang dan kunyit secara berasingan dahulu kerana kita mahu masak bawang sehingga kuning keemasan dan manis. Kebanyakan resepi akan masak bawang dan sotong secara bersama, inilah yang menyebabkan sotong menjadi keras kerana dimasak terlalu lama. Sotong perlu dimasak sekejap sahaja. Bila kita dapat lihat air keluar dari sotong, inilah tandanya sotong akan keras.

Seterusnya, sotong akan dimasak dengan api yang besar supaya bahagian luarnya garing tetapi masih mentah didalam kerana akan dimasak sekali lagi bersama bahan tumisan.

Bahan-bahan

500g sotong
700g bawang Holland
2 sudu besar serbuk kunyit
6 biji cili padi
1 sudu kecil sos sotong Thai/Sos Ikan/Kicap cair
Garam
Gula
1 sudu kecil serbuk lada putih Aji-Shio

Keadah

  1. Masukkan 2 sudu besar garam ke 2 liter air dalam bekas yang sesuai dan larutkan.
  2. Masukkan sotong ke dalam larutan air garam dan rendamkan untuk 8-10 minit. Pastikan seluruh permukaan sotong bersentuhan dengan larutan garam. Jangan rendam terlalu lama untuk elakkan sotong menjadi terlalu masin.
  3. Sementara sotong direndam, hiris kasar 700g bawang Holland. Lebih kurang 1/2 cm tebal.
  4. Selepas direndam, buangkan air garam dan rendam sotong dalam air biasa untuk 3 minit dan toskan.
  5. Potong sotong menjadi kepingan berukuran 1.5cm dan ketepikan.
  6. Panaskan minyak dan tumiskan bawang. Tambahkan 1 sudu kecil garam untuk mempercepatkan air keluar dari bawang dan garing lebih cepat.
  7. Bila bawang mula berwarna kuning, tambah 2 sudu besar serbuk kunyit.
  8. Pastikan api tidak terlalu besar untuk elakkan bawang hangus.
  9. Bila bawang berwarna kuning keemasan, keluarkan dan ketepikan.
  10. Sekarang kita masak sotong peringkat pertama, panaskan kuali dengan sedikit minyak. Pastikan kuali panas berasap sebelum masukkan sotong.
  11. Masukkan sotong dan masak sehingga permukaan luar kelihatan garing sedikit. Jangan masak terlalu lama, tujuan kita cuma untuk masak permukaan luar sahaja kerana kita akan masak sotong sekali lagi.
  12. Masak sotong sedikit-sedikit, jika masak terlalu banyak sekali, periuk tidak akan cukup panas dan air sotong akan keluar. Ini punca sotong liat dan tidak lembut. Ulang untuk semua kepingan sotong dan ketepikan.
  13. Setelah semua sotong digaringkan, kita panaskan kembali tumisan bawang dan kunyit.
  14. Masukkan 6 biji cili padi yang dipotong dan gaulkan rata.
  15. Masukkan sotong dan ratakan.
  16. Tambah 1 sudu kecil sos sotong Thai atau Sos Ikan atau Kicap cair, 1/2 sudu kecil garam dan 1/2 sudu kecl gula atau secukup rasa.
  17. Akhir sekali 1 sudu kecil lada putih Aji-Shio.
  18. Kacau rata dan hidangkan dengan segera.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas.

2 Ulasan

  1. Yum yum, fried calamari rings next receipe Chef can teach me. Thank you.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *