Sos Cili Nasi Ayam

Nasi ayam merupakan salah satu masakan kegemaran rakyat Malaysia dan juga negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand. Masing-masing ada versi mereka masing-masing.

Antara komponen penting dalam masakan nasi ayam ialah sos cilinya yang berasaskan cili segar dan juga bawang putih. Di sini saya kongsikan resepi untuk sos cili nasi ayam ibu mentua saya yang menjadi kegemaran keluarga kami.

Sos ini bukan sahaja sedap dimakan dengan nasi ayam tetapi boleh juga dipadankan dengan jemput-jemput , sotong atau udang goreng tepung dan bermacam-macam lagi hidangan yang memerlukan sos yang pedas dan masam.

Bahan-bahan

1 biji limau kasturi
2 ulas bawang putih
2 akar pokok ketumbar
10 biji cili merah
1 sudu besar cuka
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu kecil garam
70ml air

Kaedah

  1. Buangkan biji-biji cili dibahagian atas sahaja. Sos akan kurang sedap dan menarik jika terlalu banyak biji ditinggalkan. Buang dalam 50% sahaja.
  2. Setelah dibuang bijinya, potong kecil seperti ini supaya mudah dikisar dalam blender.
  3. Masukkan cili merah yang telah dipotong dan dikeluarkan separuh bijinya ke dalam blender.
  4. Diikuti bawang putih dan akar ketumbar.
  5. Kemudian tambah 1 sudu besar cuka, 2 sudu besar gula,2 sudu besar sos tomato dan 2 sudu besar sos cili.
  6. Perahkan jus limau kasturi dan masukkan kulit limau juga. Kulit limau yang akan memberikan perisa limau yang istimewa.
  7. Akhir sekali 70ml air dan 1 sudu kecil garam. Tutupkan blender dan kisar sehingga halus.
  8. Rasakan sos sebelum dihidangkan dan imbangkan rasa mengikit cita rasa anda. Kalau nak lebih manis boleh tambah gula, kalau kurang masin tambah garam dan sebagainya.
  9. Sos nasi ayam dah siap untuk digunakan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *