Puding Custard Buah – Versi putih telur

Ada bermacam-macam versi puding buah tetapi resepi ini adalah kegemaran saya dan dibuat dengan tepung jagung dan putih telur. Sangat mudah di sediakan dan sungguh sedap bila dipadankan dengan koktel buah-buahan.

Puding ini sangat ringan kerana dibuat dengan menggunakan putih telur yang dipukul sehingga kembang. Antara tips untuk mendapatkan putih telur yang kembang dengan baik ialah memastikan tidak ada kuning telur yang bercampur dengan putih telur. Lemak dari kuning telur akan menghalang putih telur daripada kembang sepenuhnya. Telur yang sudah lama juga akan kembang dengan lebih baik berbanding dengan telur yang segar.

Sos custard boleh dibuat dengan cuma susu, gula dan tepung kastard tetapi untuk custard yang lebih sedap, tambahkan 1-2 kuning telur.

Bahan-bahan

120g (1 cawan) tepung jagung
80g (4 sudu besar) gula
1250ml air
1/4 sudu kecil pewarna merah (jika suka)
2 putih telur

1 Tin koktel buah

Bahan sos kastard
2 tin susu cair
750ml (3 cawan) air
60g (3 sudu besar) tepung kastard
1 sudu vanilla
1-2 kuning telur

Kaedah

  1. Masukkan tepung jagung ke dalam periuk tapi jangan nyalakan api dahulu. Masukkan gula.
  2. Tambah 1 cawan air dan larutkan tepung jagung seperti ini. Dan kacau perlahan-lahan. Jangan tambah terlalu banyak air untuk elakkan tepung jagung bergumpal.
  3. Bila sudah larut sepenuhnya, tambah 1000ml atau 4 cawan air lagi. Kalau suka boleh tambah 1/4 sudu kecil pewarna merah atau warna yang anda suka. Kacau sehingga larut sepenuhnya.
  4. Nyalakan api dan terus kacau campuran untuk elakkan bahagian bawah berkerak. Pastikan api tidak terlalu besar.
  5. Campuran akan semakin pekat dan warnanya akan semakin gelap.Proses ini akan mengambil masa lebih kurang 8-10 minit.
  6. pukul putih telur segingga kembang. Gunakan hand mixer kalau ada tetapi kalau guna pemukul tangan pun boleh.
  7. Gerak-gerakkan mixer supaya kita dapat maksimakan kandungan udara dalam putih telur. Lagi banyak udara, lagi ringan hasil puding.
  8. Bila sudah kembang seperti ini, tambah 1 sudu kecil vanilla. Pukul lagi sehingga sebati.
  9. Putih telur yang telah kembang perlu dicampurkan sedikit demi sedikit kedalam campuran tupung jagung yang kita masak tadi. Campuran tepung jagung masih panas dan akan memasak putih telur.
  10. Pecah-pecahkan gumpalan putih telur supaya bercampur dengan sekata dengan campuran tepung jagung.
  11. Leperkan dipermukaan atas seperti ini, dan gaulkan dari bawah ke atas.
  12. Campuran yang mulanya merah gelap akan bertukar menjadi merah jambu.
  13. Masukkan puding putih telur kedalam acuan. Basahkan bahagian dalam acuan supaya pudding mudah dikeluarkan dari acuan.
  14. Ulang sehingga semua pudding di isi dalam acuan. Biarkan sejuk sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk untuk minima 6 jam atau semalaman.
  15. Untuk membuat sos kastad kita panaskan 2 tin susu cair dan 750ml air.
  16. Tambah 150g ( 8 sudu besar ) gula. Panasakan dengan api sederhana.
  17. Campurkan 60g ( 3 sudu besar ) tepung kastard dengan sedikit air untuk memekatkan sos kastad. Pastikan tepung kastard larut sepenuhnya.
  18. Bila susu sudah mula berbuih ditepi periuk masukkan larutan tepung kastard perlahan-lahan.
  19. Bila sos kastard sudah mula kelihatan pekat padamkan api dan ketepikan.
  20. Untuk kastard yang lebih lemak, boleh tambah kuning telur ( 1-2 biji ). Tuangkan sedikit daripada sos kastard yang panas ke dalam kuning telur dan kacau.
  21. Tambah lagi sos sedikit demi sedikit sehingga mangkuk kuning telur berasa panas.
  22. Sekarang masukkan ke dalam sos kastard dan kacau perlahan-lahan. Sos kastard akan menjadi lebih pekat.
  23. Akhir sekali, tambah 1 sudu kecil vanilla. Biarkan sos sejuk sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. Minima 6 jam atau semalaman.
  24. Bila kedua-dua nya sudah cukup sejuk. Tuangkan sos kastard ke atas puding.
  25. Untuk melengkapkan lagi manisan ini, hidangkan puding dengan koktail buah-buahan.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *