Nasi Serai

Nasi serai kurang dikenali berbanding nasi ayam atau nasi lemak tetapi ianya antara masakan nasi yang sangat mudah disediakan dan lazat. Resepi ini agak berbeza dengan kebanyakkan resepi nasi serai yang ada kerana ianya menggunakan jus serai untuk mendapatkan perisa serai yang lebih kuat.

Hidangan ini sangat sesuai dipadankan dengan lauk sambal udang atau sotong. Disamping itu,juga sedap jika dimakan dengan lauk kari yang pekat atau lauk ayam masak merah.

Jika anda ingin menukar selera daripada nasi putih, saya syorkan anda cuba resepi nasi serai ini.

 

 

Bahan-bahan

4 cawan sukatan periuk nasi beras basmati
6 batang serai
3 helai daun pandan
1 batang kayu manis
3 biji cengkih
3 biji buah pelaga
3 ulas bawang putih dihiris
5 biji bawang merah kecil dihiris
1cm halia dihiris
2 sudu besar minyak sapi
1 kiub pati ayam
1 1/2 sudu kecil garam

Kaedah

  1. Cucu beras sehingga air menjadi jernih dan rendam untuk 20 minit.
  2. Ambil 3 batang serai dan potong sepanjang 4-5 cm setiap potongan.
  3. Kisarkan dalam blender dengan 500m atau 2 cawan air sehingga halus.
  4. Tapiskan dengan tapis kasar diikuti tapis halus untuk mendapatkan air serai dan ketepikan.
  5. Baki 3 batang serai dipotong 2 supaya senang untuk ditumis. Titikkan serai selepas dipotong.
  6. Cairkan minyak sapi dalam kuali dan panaskan.
  7. Bila minyak dah panas, masukkan cengkih, buah pelaga dan kayu manis.
  8. Bila dah wangi, masukkan bawang putih, bawang merah kecil dan serai.Gunakan api yang sederhana supaya bahan tumisan tidak hangus.
  9. Bila bahan tumisan sudah kelihatan lembut dan mula menguning, masukkan daun pandan.
  10. Tambah 250ml atau 1 cawan air bila bahagian tepi bahan tumisan menjadi garing.
  11. Masukkan 1 kiub pati ayam.
  12. Bila kiub pati ayam dah larut, tuangkan air serai dan besarkan api.
  13. Bila dah mendidih padamkan api.
  14. Buangkan air rendam beras dan pastikan air jernih, jika masih keruh, cuci sekali lagi.
  15. Campurkan bahan tumisan yang kita sediakan tadi.
  16. Untuk 4 cawan sukatan periuk nasi beras, kita perlu tambah air sehingga ke paras 5 cawan dalam periuk nasi.
  17. Tambah 1 1/2 sudu kecil garam atau secukup rasa.
  18. Kacau satu kali lagi dan masak seperti biasa.
  19. Bila nasi dah masak dan lampu ‘cook’ terpadam dan lampu ‘keep warm’ dah menyala, biarkan nasi untuk 20 minit lagi supaya nasi menyerap wap dan kembang dengan betul.
  20. Nasi serai dah siap dan boleh dihias dengan daun sup dan bawang goreng.

 

Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk di video di atas

1 Ulasan

  1. […] Satu lagi petua ialah cili dan bawang perlu dimasak sehingga betul-betul garing. Kesilapan yang sering dilakukan ialah memasukkan ayam terlalu awal. Duan-daun pudina, ketumbar dan sup juga perlu segar supaya baunya masih kuat. Ayam masak merah beleh dipadankan dengan nasi putih sahaja ataupun dengan nasi briyani, nasi minyak, nasi tomato ataupun nasi serai. […]

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *