Japnese garlic fried rice

Nasi Goreng Bawang Putih Jepun

Antara hidangan yang saya gemar di restoran Jepun ialah nasi goreng bawang putih. Cara penyediaannya hampir sama dengan nasi goreng China , cuma ada sedikit perbezaan dari segi bahan-bahan. Antara bahan-bahan yang memberikan rasa unik nasi goreng Jepun ini ialah kicap Jepun atau Shoyu dan juga mentega. Untuk hasil yang terbaik, saya syorkan guna beras Jepun yang dimasak sehari lebih awal dan disimpan dalam peti sejuk.

Resepi ini tidak menggunakan sebarang protein berasakan daging atau makanan laut, cuma telur sahaja. Oleh itu bawang putih memainkan peranan yang penting untuk menghasilkan perisa yang lazat. Walaubagaimanapun, jika suka boleh tambah protein kegemaran anda seperti udang, stotong atau ayam.

Semasa menumis bawang putih, pastikan api sederhana kecil digunakan tetapi semasa menggoreng nasi, pastikan api yang besar digunakan. Api yang kuat pula diperlukan untuk menggaringkan nasi untuk menghasilkan nasi goreng terbaik.

Bahan-bahan

700g nasi ( Seeloknya yang dimasak semalam )
14 ulas bawang putih ( dicincang )
4 biji telur
2 sudu besar kicap Jepun
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar lada putih Aji-Shio
1 sudu besar mentega
4-5 helai daun bawang ( dihiris )

Kaedah

  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumiskan bawang putih. Gunakan api sederhana kecil agar bawang putih tidak hangus.
  2. Bila bawang putih mula kelihatan garing, masukkan mentega.Ini akan menurunkan suhu minyak dan mengelakkan bawang putih hangus.
  3. Masukkan telur setelah bawang putih garing dan berwarna perang pucat. Kacau supaya telur dan bawang putih sebati. Gunakan api yang sederhana.
  4. Setelah telur masak dan sebati dengan bawang putih, masukkan nasi.
  5. Gaulkan nasi dengan campuran telur dan bawang putih. Pastikan setiap butir nasi disalut dengan campuran telur dan bawang putih.
  6. Kuatkan api ke tahap maksima, dan masukkan kicap Jepun di tepi kuali. Diikuti sos ikan. Gaulkan supaya rata.
  7. Masukkan serbuk lada putih Aji-Shio dan gaulkan supaya rata.
  8. Akhir sekali masukkan daun bawang yang telah dihiris.
  9. Nasi goreng bawang putih Jepun siap untuk dihidangkan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *