Lasagna Daging Lembu

Lasagna pada asasnya ada 3 bahagian, pertamanya kepingan pasta lasagna. Saya suka guna jenis yang oven ready dan tak perlu direbus dahulu. Ada beberapa jenama, tapi saya suka Barilla.

Kedunya kita perlukan sos bolognese, lebih kurang 700g untuk 4 hidangan. Sos bolognese adalah sama dengan yang kita masak untuk spaghetti bolognese. Akhirnya, yang ketiga ialah sos putih atau bechamel. Saya suka tambah cheese dalam sos bechamel untuk jadikan cheese sauce.

Ramai yang rasa lasagna adalah masakan pasta yang paling susah tapi saya akan cuba berikan versi saya yang paling mudah, walaupun 100% homemade.

Bahan-Bahan

4-6 Kepingan lasagna oven ready (Tak perlu direbus)

700g Sos Bolognese ( Sila rujuk resepi Spaghetti Bolognese)

Bahan Sos Keju
25g mentega
25g tepung gandum
750ml (3 cawan) susu segar
100g keju parmesan (diparut)
3 keping cheese singles
1 sudu kecil garam / secukup rasa
1/2 sudu kecil serbuk lada putih Aji Shio

Bahan taburan
100g Keju Mozarella
50g keju Parmesan
Parsley
Sage
Thyme
Oregano

Kaedah

  1. Cairkan 25g mentega. Bila dah cair , tambahkan 25 tepung gandum.
  2. Masak sehingga berwarna kuning keemasan seperti ini dan ketepikan.
  3. Tuangkan 3 cawan ( 750ml susu segar )
  4. Gunakan api yang sederhana kecil, dan panaskan susu sehingga mula pasan dan berbuih kecil di tepi periuk.
  5. Kemudian masukkan perlahan-lahan campuran mentega dan tepung yang kita masak tadi.
  6. Pastikan kesemuanya larut dalam susu. Kalau ada pemukul telur boleh gunakan supaya tepung senang larut dan sos tidak berketul.
    Kacau untuk 1-2 minit.
  7. Bila campuran tepung dan mentega dah sebati dengan susu, masukkan 100g keju parmesan yang telah diparut halus. Kacau sehingga kesemua keju dah cair dan larut.
  8. Masukkan 3 keping cheese singles dan kacau hingga sebati.
  9. Tambahkan 1 sudu kecil garam atau secukup rasa, 1/2 sudu kecil lada putih aji shio
  10. Kacaukan sehingga sebati. Sos keju sudah siap.
  11. Sekarang tiba masa untuk kita gabungkan bahan-bahan lasagna yang telah disediakan untuk dibakar.
  12. Pilih bekas yang sesuai untuk membakar lasagna. Gunakan loyang non-stick supaya senang untuk keluarkan lasagna.
  13. Sapukan sedikit minyak zaitun pada permukaan dalam loyang. Ambil satu keping pasta lasagna untuk kita mulakan lapisan pertama.
  14. Pastikan kepingan pasta betul-betul rata. Lapisan pertama ialah sos keju. Pastikan seluruh kepingan pasta lasagna ditutupi sos terutama dibahagian sudut. Bahagian yang tidak kena sos akan keras setelah dibakar.
  15. Kemudian diikuti dengan lapisan sos bolognese. Lapisan sos bolognese biasanya lebih tebal dari lapisan sos putih.
  16. Sekarang kita mulakan lapisan kedua. Kalau kepingan lasagna tidak cukup besar , boleh potong kepingan yang lain.
  17. Garitkan dengan pisau bergigi seperti ini mengikut saiz yang diperlukan, dan patahkan supaya potongannya bersih. Kepingan pasta lasagna sangat rapuh dan tak boleh dipotong dengan gunting.
  18. Letakkan kepingan yang dipotong tadi. Kita ulang lapisan sos keju diikuti sos bolognese. Buat sekurang-kurangnya 3 lapisan atau 5 lapisan jika boleh.
  19. Untuk lapisan terakhir, taburkan keju mozzarella yang diparut kasar diikuti keju parmesan yang diparut.
  20. Lasagna siap untuk dibakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan ke suhu 180 darjah celcius untuk 30 minit.
  21. Sementara kita tunggu lasagna kita masak, kita boleh sediakan bahan taburan. Saya suka guna herba segar seperti parsley, sage, thyme dan oregano. Taburkan herba-herba segar untuk menambahkan lagi keharuman dan perisa lasagna kita.
  22. Sekarang lasagna sedia untuk dihidangkan. Saya suka makan terus dari loyang selepas dibakar.
  23. Tapi kalau nak lasagna yang lebih cantik dan tersusun, yang nampak lapisannya satu-satu. Rahsianya ialah, biarkan sejuk selepas dibakar dan simpan dalam peti sejuk untuk 3 jam atau semalaman. Lasagna akan mudah untuk dipotong dan boleh panaskan semula.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *