Jemput-Jemput Ikan Bilis – Cekodok Ikan Bilis

Jemput-jemput ikan bilis juga dikenali sebagai cucur ikan bilis atau cekodok ikan bilis. Ianya satu kudapan yang sangat popular tetapi tidak mudah untuk dimasak dengan baik. Masalah yang sering dihadapi ialah hasil yang tidak garing atau jemput-jemput yang liat dan tidak lembut.

Bahan paling utama dalam membuat jemput-jemput atau cucur ialah tepung gandum. Saya gunakan jenama faiza kerana kandungan protiennya yang tinggi 10.5% sangat sesuai. Jenama lain pun boleh tapi untuk hasil terbaik gunakan tepung berprotien tinggi. Kandungan protein yang tinggi membolehkan adunan menyerap dan menyimpan lebih banyak air walaupun selepas digoreng. Ini akan menghasilkan jemput-jemput yang lebih lembut.

Jumlah air dan tepung boleh berbeza mengikut cuaca kerana kebolehan tepung menyerap air bergantung kepada kelembapan udara. Pada hari hujan atau mendung kandungan air dalam udara akan tinggi dan tepung akan menyerap lebih banyak air dan kita perlu kurangkan air, manakala pada hari panas, udara lebih kering dan tepung memerlukan lebih banyak air ditambah.

Setelah digoreng, jemput-jemput boleh dipadankan dengan sos cili kegemaran anda.

Bahan-bahan

230g (2 cawan) tepung gandum
30g ikan bilis
1 biji bawang merah besar
1 biji cili merah
1 sudu kecil garam atau secukup rasa
1 1/2 cawan air

Kaedah

  1. Hiris bawang merah besar dan cili merah.
  2. Cuci ikan bilis dengan sedikit air.
  3. Masukkan tepung ke dalam bekas yang sesuai.
  4. Tambah bawang merah dan cili merah yang telah dihiris.
  5. Tuangkan 250ml atau 1 cawan air dan gaulkan perlahan-lahan.
  6. Bila dah mula sebati, tambah 125ml atau 1/2 cawan air lagi.
  7. Bergantung kepada kepekatan adunan, boleh tambah air atau tambah tepung dan garam.
  8. Gaulkan sehingga tidak lagi berketul dan biarkan untuk 5 minit supaya tepung dapat menyerap air dengan sepenuhnya.
  9. Panaskan minyak dalam kuali. Gunakan api yang sederhana panas supaya jemput-jemput tidak hangus.
  10. Masukkan 1 sudu besar adunan untuk setiap keping jemput-jemput.
  11. Jangan risau kalau, jemput-jemput kelihatan melekat. Biarkan bahagian bawahnya masak dan mula menjadi garing. Ini akan memudahkan kita asingkan dengan menggunakan garpu.
  12. Kemudian bila bahagian bawahnya sudah mula berwarna kuning keemasan, kita balikkan supaya bahagian atas pula dapat masak.
  13. Bila kedua-dua belah sudah berwana perang keemasan seperti ini, jemput-jemput sudah boleh diangkat untuk dihidangkan.
  14. Jemput-jemput ikan bilis atau cucur ikan bilis boleh dihidangkan bersama sos cili kegemaran anda.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *