Ikan Siakap Sweet Sour

Ikan masak masam manis atau sweet & sour ialah satu masakan yang popular di restoran makanan laut tempatan. Ada bermacam-macam cara untuk memasak hidangan ini yang berbeza-beza dari teknik memasak hingga ke bahan-bahan yang digunakan mengikut kawasan.

Resepi ini adalah satu resepi yang mudah dan cepat disiapkan di rumah dengan menggunakan cuma beberapa bahan asas yang bisas ada di dapur. Untuk resepi ini saya suka guna ikan siakap tetapi anda boleh gunakan apa-apa ikan yang anda suka. Yang pentingnya , ikan haruslah segar.

Bahan-bahan

800g Ikan segar
20g tepung gandum
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil lada putih Aji-Shio

Bahan untuk sos
1 biji buah tomato dipotong kecil
4 ulas bawang putih dicincang
1 biji bawang merah kecil dihiris
1 biji cili merah dihiris
40g (2 sudu besar) cili kisar
60g (2 sudu besar) sos cili
60g (2 sudu besar) sos tomato
100ml air
2 sudu kecil gula
1 sudu kecil kicap manis
1 sudu kecil serbuk perasa ( Jika Mahu)

Kaedah

  1. Untuk memudahkan Ikan masak, kelarkan ikan.
  2. Taburkan sedikit garam, serbuk lada putih aji shio dan sedikit tepung gandum. Ini akan memberikan satu salutan nipis yang garing pada ikan selepas digoreng. Lumurkan dengan rata.
  3. Balikkan ikan dan ulang untuk bahagian bawah ikan.
  4. Panaskan minyak dalam kuali. Bila sudah panas, masukkan ikan. Jangan gunakan terlalu banyak minyak.
  5. Balikkan ikan dan masak bahagian atas pula.
  6. Bila kedua-dua belah ikan sudah garing dan masak, keluarkan dan ketepikan sementara kita sediakan sos.
  7. Keluarkan sedikit daripada minyak goreng ikan dan tumiskan bawang putih.
  8. Bila bawang putih mula berwarna kuning, masukkan bawang merah kecil, cili kisar.
  9. Kemudian tambah buah tomato yang telah dipotong tadi, dan cili merah.
  10. Selepas itu masukkan sos cili, sos tomato
  11. Tambah 100ml air, 2 sudu kecil gula dan 1 sudu kecil serbuk perasa jika suka. Jika tidak mahu guna serbuk perasa , gantikan dengan 1/2 sudu kecil garam atau secukup rasa.
  12. Kacau supaya rata dan masak sehingga pekat sedikit. Akhir sekali tambahkan 1 sudu kecil kicap manis. 13. Sos kini siap dan boleh dituangkan ke atas ikan yang telah digoreng.
  13. Hiaskan dengan daun ketumbar dan daun bawang yang telah dipotong. Ikan masam manis atau sweet sour sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih panas.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas sila rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *