Ikan Sardin Tumis

Resepi ikan sardin tumis ini sangat mudah disediakan dengan hanya beberapa bahan-bahan asas yang sedia ada di dapur.

Dalam resepi ini ikan sardin diasingkan kerana kita akan goreng ikan sardin secara berasingan untuk menggaringkan ikan. Menggoreng ikan akan meningkatkan perisa ikan sardin. Jika kita tidak asingkan sos, suhu minyak tidak akan cukup panas untuk menggaringkan ikan.

Ikan sardin sebenarnya antara ikan yang paling berkhasiat kerana kandungan protein dan calcium yang tinggi. Ikan sardin juga kaya lemak asid omega 3 yang baik untuk kesihatan jantung.

Antara kelebihan ikan sardin ialah ikan sardin yang dijual dalam tin atau peket , semuanya ikan sardin yang liar dan bukan diternak. Ikan sardin juga hanya makan plankton sahaja dan oleh itu, kandungan bahan toksik dalam ikan sardin jauh lebih rendah berbanding ikan seperti ikan tongkol (Tuna ) dan salmon.

Bahan-bahan

1 tin/peket ikan sardin dalam sos tomato (425g)
1/2 biji bawang merah
1.5cm halia
3 ulas bawang putih
1 biji cili hijau
1 biji cili merah
2 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil pes asam Jawa
Jus 1 biji limau kasturi
1 sudu kecil garam ( secukup rasa )
2 sudu kecil gula ( secukup rasa )

Kaedah

  1. Asingkan ikan sardin daripada sos tomato.Toskan seberapa banyak sos tomato yang boleh. Ketepikan dahulu sos tomato.
  2. Panaskan sedikit minyak untuk menggoreng ikan sardin, jangan letakkan terlalu banyak minyak.
  3. Masukkan ikan sardin. Berhati-hati kerana minyak akan merecik kerana masih ada sedikit lagi sos pada ikan. Jika terlalu banyak minyak digunakan kesannya akan lebih ketara. Tutupkan sekejap sementara ikan digoreng, tapi jangan terlalu lama kerana ikan akan menjadi kering dan keras.
  4. Bila ikan dan garing dan berwarna kuning keemasan, balikkan ikan dan garingkan sebelah lagi. Gunakan api yang sederhana sahaja untuk elakkan ikan hangus.
  5. Bila kedua-dua belah ikan telah garing, tolakkan ikan ketepi kuali dan masukkan bawang merah, bawang putih dan halia. Tambahkan sedikit lagi minyak untuk menumis.
  6. Tumis sehingga bawang layu sahaja dan masukkan cili yang telah dihiris.
  7. Tambahkan sos tomato yang diasingkan tadi.
  8. Masukkan 2 sudu besar kicap manis. Satu sudu kecip pes asam jawa. Tambahkan sedikit air untuk melarutkan baki pes asam jawa.
  9. Masukkan jus 1 biji limau kasturi, 1 sudu kecil garam atau secukup rasa.
  10. Tambah 2 sudu kecil gula untuk mengimbangkan perisa masam dari dari sos tomato, asam jawa dan limau kasturi. Gula memainkan peranan bukan sahaja sebahai pemanis tetapi juga sebagai pengimbang rasa. Boleh kurangkan atau tambah ikut cita rasa masing -masing.
  11. Ikan sardin tumis siap. Hidangkan dengan segera.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas sila rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *