Bubur Sumsum

Bubur sumsum ialah satu manisan warisan yang kurang dikenali generasi muda. Bubur ini dikatakan berasal dari Indonesia dan dibuat dengan hanya beberapa bahan asas seperti tepung beras dan santan.

Kini lebih popular dihidangkan dengan gula Melaka atau gula merah, tetapi dalam resepi ini saya akan gunakan air gula putih yang berperisa cengkih yang tradisional.

Antara petua untuk menyediakan bubur sumsum ialah gunakan tepung beras cap 3 gajah kerana ianya lebih sesuai untuk dibuat kuih berbanding jenama-jenama lain. Untuk mengelakkan sumsum melekat pada acuan, basahkan acuan sebelum diisi.

Bahan-Bahan

220g (2 cawan) tepung beras
500ml (2 cawan) santan
1750ml (7 cawan) air
1 sudu besar garam
3 helai daun pandan

Air gula
200g (1 cawan) gula
750ml (3 cawan) air
2 helai daun pandan
2 kuntum bunga cengkih

Kaedah

  1. Koyakkan daun pandan supaya bau dan perisa daun pandan lebih menyerlah.
  2. Masukkan tepung ke dalam periuk. Tambahkan 2 cawan santan dan 1750ml atau 7 cawan air.
  3. Tambah 1 sudu besar garam dan kacau perlahan-lahan supaya tepung larut sepenuhnya didalam santan dan air. Gunakan pemukul telur seperti ini jika ada.
  4. Bila sudah larut dan tiada lagi ketulan tepung, masukkan daun pandan.
  5. Pindahkan ke dapur dan masak dengan api sederhana. Pastikan dikacau sentiasa supaya tidak hangus dibahagian bawah.
  6. Boleh gunakan pemukul telur kerana campuran tepung dan santan akan semakin pekat.
  7. Bila sudah pekat dan likat, padamkan api dan ketepikan untuk sejuk sedikit.
  8. Keluarkan daun pandan yang tertinggal.
  9. Petua supaya sumsum tidak melekat ialah basahkan sedikit bekas sebelum kita masukkan bubur sumsum. Masukkan ke dalam bekas yang sesuai.Secara tradisinya bubur sumsum disediakan dalam satu bekas besar seperti ini dan diceduk sahaja untuk setiap hidangan.
  10. Kini ada orang yang lebih suka buat bubur sumsum dalam bekas atau acuan seperti ini untuk dihidangkan. Warna tradisinya ialah putih tapi kalau suka boleh letak sedikit perwarna untuk menjadikan bubur sumsum lebih menarik.
  11. Biarkan sejuk sedikit untuk 30 minit sebelum disimpan dalam peti sujuk untuk disejukkan untuk 4 jam ataupun semalaman.
  12. Untuk air gulanya, masukkan 1 cawan gula , 750ml atau 3 cawan air dan sedikit daun pandan. Kalau nak kuatkan bau pandan boleh tambah daun pandan.
  13. Masak sehingga gula larut sepenuhnya. Air gula sumsum yang trasional ada perisa cengkih. Kalau suka boleh tambah 2 kuntum bunga cengkih. Nak tinggalkan pun boleh.
  14. Ketepikan untuk 30 minit dan sejukkan dalam peti sejuk untuk 4 jam atau semalaman.
  15. Hidangkan dengan air gula.
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *