Ayam Masak Briyani

Ayam Masak Briyani

Resepi ayam masak briyani ini tidak memerlukan rempah briyani khusus tetapi campuran rempah kari dan kurma yang lebih mudah dibeli di kedai-kedai. Lauk ini menjadi kegemaran saya sewaktu kecil dan sering saya masak semasa zaman pelaajr saya dahulu.

Antara bahan yang penting dalam resepi ini ialah bawang goreng yang seeloknya digoreng sendiri. Minyak gorengan bawang akan menambahkan lagi perisa masakan ini. Lauk briyani ayam ini perlu dimasak lama supaya kesemua bahan-bahan seperti bawang goreng, rempah dan daun-daun masak dan sebati.

Ayam masak briyani ini sangat sesuai dipadankan dengan nasi minyak ataupun nasi putih sahaja.

Bahan-bahan

2kg daging ayam, ini cukup untuk 10 orang makan.
8 biji bawang merah besar (dihiris nipis untuk digoreng)

Bahan kisar
4 biji bawang merah besar
2inci halia
10 ulas bawang putih
(Potong kecil seperti ini supaya mudah dikisar nanti)

5 sudu besar (50g) rempah kurma
5 sudu besar rempah kari
7 biji buah pelaga
7 kuntuk bunga cengkih
1 batang kayu manis
1 sudu besar lada sulah
8 sudu besar sos tomato
3 sudu besar madu
1/2 cawan (120ml) susu cair
8 biji lada hijau
2 biji buah tomato
7 biji telur ayam.
50g daun pudina
50g daun ketumbar
50g daun sup.

Untuk langkah-langkah yang lebih jelas, rujuk video ini

Kaedah

  1. Kisarkan bawang, bawang putih dan halia. Tambahkan sedikit air untuk memudahkan bahan dikisar. Kemudian kisar sehingga halus, dan ketepikan dahulu.
  2. Rebus telur sehingga masak, kopekkan kulit telur, dan goreng sehingga kuning keemasan. Ulang sehingga semua telur telah digoreng, dan ketepikan.
  3. Panaskan minyak secukupnya untuk goreng bawang yang telah dihiris. Bila minyak sudah panas, masukkan bawang. Goreng dengan api yang sederhana kuat supaya tidak hangus.
  4. Bila bawang sudah mula menjadi garing kecilkan api kerana bawang sangat mudah hangus pada peringkat ini. Keluarkan bawang bila sudah berwarna kuning keemasan. Jika tunggu hingga garing dalam minyak, bawang akan menjadi hangus kerana ianya akan terus masak walaupan telah dikeluarkan. Toskan bawang dan ketepikan.
  5. Gunakan minyak bekas goreng bawang untuk menumis bahan kisar (bawang merah, bawang putih dan halia). Tumiskan untuk 4-5 minit dengan api sederhana.
  6. Kemudian masukkan cengkih, buah pelaga dan kayu manis.
    7,Masukkan rempah kari dan rempah kurma. Gaulkan sebati sehingga menjadi pes. Kautkan rempah dibahagian tepi ke tengah, untuk elakkan hangus. Jika api terlalu kuat, kecil kan sedikit. Tambahkan sedikit air supaya rempah dapat dimasak lebih lama tanpa hangus.
  7. Bila sudah pecah minyak, masukkan daging ayam. Gaulkan supaya ayam dapat digoreng dalam pes rempah.
  8. Masukkan daun ketumbar, daun pudina dan daun sup.
  9. Masukkan buah tomato. Gaulkan supaya rata. Tambah 2 cawan air dan Sos tomato. Gaulkan.
  10. Masukkan bawang goreng, 1/2 cawan susu cair dan 2 sudu kecil garam atau secukup rasa. Renihkan untuk 10 minit.
  11. Masukkan madu dan cili hijau. Renihkan 20 minit lagi.
  12. Tambah 1 sudu besar gula sebagai pengimbang rasa, dan 1 sudu besar lada sulah. Gaulkan rata.
  13. Masukkan telur rebus yang digoreng tadi. Dan renihkan untuk 20 minit lagi. Lauk briyani perlu dimasak lama supaya rempah, bawang goreng , daun-daun menjadi sebati dengan kuah. Kesilapan yang sering dilakukan ialah memasak terlalu cepat, ini akan menghasilkan rasa kuah yang kurang sedap.
  14. Bila ayam sudah lembut , Ayam Masak Briyani siap untuk dihidangkan dengan hiasan bawang goreng dan daun sup.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *