Ais Krim Vanilla Perancis

Kebanyakan ais krim yang ada di pasaran kini mengandungi lemak sayuran dan bukannya lemak tenusu kecuali ais krim berjenama premium seperti Haagen Dazs.

Resepi ini adalah berasaskan resepi ais krim gaya Perancis yang menggunakan kuning telur sebagai salah satu bahan asas. Ais krim berasaskan krim dan susu tetapi tidak mengangungi kuning telur dikenali sebagai American style atau Philadelphia style ice cream.

Satu teknik penting yang digunakan dalam resepi ini ialah ‘tempering’ dimana susu panas dicampurkan kepada kuning telur perlahan-lahan supaya tidak masak terlalu cepat. Teknik yang sama juga digunakan dalam membuat custard klasik dan juga creme’ caramel.

Untuk mereka yang tidak ada mesin pembuat ais krim yang khusus , boleh gunakan teknik di dalam resepi ini yang cuma memerlukan beg plastik ziplock dan pengisar makanan ( food processor ) atau blender dapur biasa.

Bahan-bahan

1000ml whipping cream
500ml susu segar
250g gula
6 kuning telur
3 sudu besar esen vanilla
1/2 sudu kecil garam

Kaedah

  1. Mula-mula masukkan whipping cream, diikuti susu segar, dan gula.
  2. Panaskan dengan api yang sederhana dan masak sehingga gula larut sepenuhnya. Pastikan krim, susu dan gula sebati.
  3. Bila gula sudah larut sepenuhnya, kita perlu gabungkan kuning telur dengan campuran krim , susu dan gula. Ini perlu dilakukan dengan teliti supaya kuning telur tidak masak terlalu cepat.
  4. Tambahkan campuran krim dan susu yang panas sedikit demi sedikit kepada kuning telur dan gualkan supaya sebati. Ini akan menaikkan suhu kuning telur dengan perlahan. Langkah ini sangat penting, jika kita tambah terlalu banyak krim dan susu, kuning telur akan masak dan campuran air krim akan rosak dan tidak boleh digunakan.
  5. Ulang sehingga suhu campuran krim, susu dan telur hampir sama dengan krim dan susu dalam periuk.
  6. Sekarang kita tuangkan kembali ke periuk sambil mengacau.
  7. Kemudian tambahkan 3 sudu besar perisa vanilla. Kalau ada vanilla asli lebih baik.Resepi ini boleh diubah suai jika anda suka ais krim lain seperti coklat atau strawberry dengan menambah bahan perisa.
  8. Tambah juga 1/2 sudu kecil garam. Garam akan meningkatkan perisa makanan yang manis seperti ais krim.
  9. Teruskan masak sehingga campuran menjadi pekat sedikit dan kelihatan berwap. Jangan biarkan campuran mendidih kerana ini akan menyebabkan campuran pecah minyak dan tidak boleh digunakan.
  10. Bila kita boleh buat tanda pada belakang sudip, campuran ais krim dah siap. Padamkan api dan ketepikan untuk sejuk.
  11. Setelah sejuk, kalau ada mesin pembuat ais krim boleh gunakan seperti yang biasa, tapi kalau tak ada saya akan tunjukkan cara yang lain.
  12. Kita perlukan satu beg plastik zip lock seperti ini yang boleh ditutup seperti ini.
  13. Tuangkan campuran aiskirm yang telah sejuk dan ditapis. Kadang-kadang ada sisa-sisa telur dan keladak yang tertinggal.
  14. Tutupkan beg plastik dahulu. Bukakan sedikit dibucu tepi plastik dan keluarkan seberapa banyak udara yang boleh, dan tutup semula beg plastik. Masukkan kedalam freezer untuk beku sepenuhnya sekurang-kurangnnya 10 jam atau semalaman.
  15. Bila sudah beku, begini rupanya. Keluarkan sedikit campuran ais krim. Kita akan gunakan pengisar makanan ( food processor ) untuk mengisar campuran supaya mendapat ais krim yang halus dan tidak ada hablur ais yang kasar.
  16. Kalau tak ada pengisar , blender dapur biasa pun boleh juga , tapi jangan masukkan terlalu banyak sekali kisar. Kisar sedikit-sedikit dahulu tapi jangan biarkan ais krim cair terlalu banyak.
  17. Setelah dikisar, hablur-hablur ais yang kasar akan dihancurkan dan air krim akan menjadi halus seperti ini. Tetapi masih lagi terlalu lembut untuk dimakan dahulu.
  18. Masukkan kedalam bekas yang sesuai dan masukkan dalam freezer untuk sekurang-kurangnya 4-6 jam atau lebih lama.
  19. Setelah dibekukan, ais krim sedia untuk dihidangkan
Untuk langkah-langkah yang lebih jelas boleh rujuk video di atas

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *